Rabu, 12 Oktober 2011

j-QAF SK. TOK DIR, KUALA TERENGGANU: Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic...

j-QAF SK. TOK DIR, KUALA TERENGGANU: Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic...: Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 201...

Read More...

Isnin, 10 Oktober 2011

Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food)


Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:


1.Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia serta meneliti hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa makanan terubahsuai secara genetik melibatkan pemindahan gen-gen yang halal dan juga tidak halal, dari haiwan dan juga tanaman bagi memberikan ciri-ciri yang dikehendaki sebagai makanan atau ubat-ubatan.

2.Dalam hal ini Muzakarah berpandangan bahawa Islam menghendaki umatnya supaya memilih makanan yang baik (toyyib) iaitu halal,suci dan tidak memberi mudharat kepada jiwa dan akal manusia dan proses penghasilannya juga tidak memberi mudharat kepada manusia dan alam sekitar.

3.Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dalam penghasilan Makanan Terubahsuai Genetik (GM Food), penggunaan bahan-bahan yang diharamkan dan memudaratkan manusia serta alam sekitar adalah dilarang. Manakala penggunaan haiwan ternakan yang halal dibolehkan sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut kaedah syarak.

Keputusan Muzakarah Kebangsaan lain berkaitan:
Bioteknologi Dalam Makanan & Minuman

Sumber: Sini

Read More...

Selasa, 27 September 2011

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan

Keputusan:

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:


1.Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

2.Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

3.Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

4.Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

5.Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.
6.Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

7.Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Sumber Maklumat

Read More...

Isnin, 26 September 2011

Kenakalan Remaja dari Perspektif Islam dan Barat

OLEH: NOORZIHAN MOHAMED YIN

Ibu bapa pada masa kini dilihat seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlalu begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka dengan alasan sibuk dengan tugasan di pejabat.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini, anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa. Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya.

Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia. Antaranya, Corey (1986) menyatakan beberapa teori penting yang menjelaskan tentang tabiat seperti berikut:


Pertama: Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.

Kedua: Teori Analisis Transaksi: Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.

Ketiga: Teori Behaviorisma: Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

Keempat: Teori Pemusatan Klien: Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan seumpamanya.

Kita dapati bahawa pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, proses pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak dibimbing oleh al-Quran dan kajian itu dibuat berdasarkan latarbelakang kehidupan masyarakat di barat.

Dari segi pendekatan Islam, Muhammad al-Jiasi (1976) menyatakan: terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:

a. Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.

b. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif.

c. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.

d. Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.

Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.

Seorang ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia.

a. Manusia yang baik tabiatnya - Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat;

b. Manusia yang jahat tabiatnya - Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.

c. Manusia yang berada dipertengahan tabiatnya - Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.

FAKTOR KENAKALAN

Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:

Pertama : Faktor keluarga

Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;

a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.

b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.

c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.

d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.

e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.

Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor

Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.

Ketiga : Faktor sekolah

Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:

a. Disiplin sekolah yang longgar.

b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.

c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

Keempat : Faktor Persekitaran

Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.

Kesimpulannya, mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus menerus tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak. Langkah penting bagi ibu bapa dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak anak ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil lagi. Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak terencat apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak itu mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya atau sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak daripada menjadi jahat tabiatnya.

Oleh itu ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang diamalkan oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.

Sumber: Disini

Read More...

Ahad, 25 September 2011

Salam kepada semua warga SK. Tok Dir dan kepada semua pengunjung.

Read More...